SEJARAH SEKOLAH




Berdasarkan catatan awal penubuhan Sekolah SK Sungai Jernih,ianya bermula pada awal tahun 1940an. Sebelum sekolah ini dibina,para penduduk telah menghantar anak-anak mereka belajar di Sekolah Kebangsaan Kampong Masjid,Ijok yang jaraknya lebih kuran5 KM. Kebanyakkan para pelajar pada waktu itu pergi ke sekolah dengan berjalan kaki melalui jalan tanah merah yang dipenuhi dengan lumpur. Hanya sebahagian kecil sahaja yang menggunakan basikal. Ini kerana para penduduk kebanyakannya adalah miskin. Terdapat ramai juga para penduduk yang tinggal di sekitar kawasan sungai Jernih yang tidak menghantar anak mereka ke sekolah khususnya anak-anak perempuan disebabkan factor kemiskinan dan masalah infrastruktur.
         Di atas rasa kesedaran dan kesukaran yang dialami oleh para penduduk bagi memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka maka timbullah satu semangat kemuafakatan untuk membina sebuah sekolah yang berdekatan dengan tempat kediaman mereka. Di atas kepimpinan beberapa orang pimpinan kampong yang diketuai oleh Tuan Hj Sulaiman Bin Kernai selaku Ketua kampong Sungai Jernih pada masa telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah sekolah untuk membolehkan anak-anak penduduk di sekitar kawasan Sungai Jernih dapat bersekolah dengan lebih selesa dan dapat mengatasi masalah kejauhan untuk menghantar anak-anak  mereka pergi belajar.
       Akhirnya di atas kesungguhan dan berkat doa para penduduk Kampong maka pada tahun 1950 terbinalah sebuah sekolah di atas sebidang tanah berlot 2754 dan 2755 seluas 1ekar 1rode 30 pole  yang terletak berhampiran dengan sebatang anak sungai ia itu Sungai Jernih.  Pada waktu itu bahan asas binaan adalah terdiri daripada batang pinang sebagai tiang,dindingnya daripada buluh dan bumbung pula daripada daun rumbia.  Sekolah ini namakan Sekolah Melayu Sungai Jerneh. Keluasan awal bangunan ialah panjangnya 60 kaki dan lebarnya ialah16 kaki.  Pihak Jabatan Pelajaran pula turut membantu membekalkan simen untuk dibuat lantai serta buku teks dan perabot secara percuma.
      Pada tarikh 18.4.1951 bersamaan dengan hari Rabu merupakan tarikh bermulanya hari persekolahan pertama Sk Sungai Jernih. Bilangan guru seramai 3 orang yang diketuai oleh Cikgu Mat Isa Bin Lodin selaku guru besar yang pertama dan dibantu oleh Cikgu Othman Bin Jaafar serta Cikgu A. Ghani bin Md Nor. Bilangan pelajar ialah seramai 96 orang.  Pada peringkat awal pembukaan sekolah banyak kekurang yang terpaksa dialami oleh para pelajar terutamanya keperluan perabot  seperti kerusi dan meja. Oleh kerana pembinaan asas sekolah ini berdasarkan bahan asas yang tidak kukuh maka bangunan ini hanya dapat bertahan selama lima tahun sahaja. Para penduduk mula bimbang dengan keadaan tersebut,maka atas inisiatif para penduduk dan guru-guru sekolah,mereka telah memohon kepada kerajaan melalui Jabatan Pelajaran untuk membina bangunan baru yang lebih kukuh. Memandangkan bantuan yang dipohon agak lambat sedangkan para pelajar ingin terus belajar,para penduduk telah bermuafakat mengutip derma daripada para penduduk.  Di atas sumbangan daripada para penduduk tempatan,wang yang didermakan tersebut telah digunakan bagi membeli sebidang tanah berlot 885 seluas 2ekar daripada Tuan Hj Cik Mat Bin Taha seorang pesara guru dengan harga RM 700.00 dan wang yang selebihnya pula digunakan bagi membeli kayu untuk membina bangunan baru sekolah.
    Pihak Jawatan Kuasa pembinaan Bangunan baru ini juga turut memohon bantuan Jabatan Pendidikan Perak bagi menampong kos pembinaan yang tidak mencukupi. Pada waktu itu,pihak Jabatan Pendidikan Perak telah memberikan bantuan berupa simen,atap zink,perabot,papan dan buku teks. Akhirnya pada tanggal 14.9.1955,bangunan baru yang lebih kukuh ini mula beroperasi. Nama sekolah ini telah ditukarkan kepada nama Sekolah Umum Sg Jernih. Keluasan bangunan baru ini ialah panjangnya 60 kaki dan lebarnya 20 kaki. Bilangan pelajar pada waktu itu ialah serama 113 orang dan bilangan guru pula seramai 5 orang yang diketuai oleh En. Mohamad Tajuddin Bin Zahari selaku Guru Besar.
     Setelah beroperasi lebih kurang 12 tahun,bangunan kedua sekolah ini mulai uzor dan tidak selamat lagi untuk diguna oleh para pelajar.  Akhirnya pada 13.11.1967,pihak Jabatan Pelajaran Perak telah mengeluarkan notis supaya bangunan tersebut tidak boleh digunakan lagi kerana ia tidak lagi selamat untuk  para pelajar belajar.  Keadaan ini telah mendatangkan banyak masalah pembelajaran kepada para pelajar. Mereka terpaksa belajar dengan menumpang di empat buah rumah kedai burok yang telah dikosongkan oleh tuannya.  Waktu itu sekolah ini diketuai oleh En. Md Rahim bin Ismaial selaku guru besar dengan dibantu oleh 5 orang guru.  Bilangan pelajar pula ialah seramai 135 orang.  Pihak Jabatan Pelajaran terpaksa membayar sewa bangunan kedai tersebut sebanyak RM 40.00 sebulan.  Keadaan sedemikian berterusan selama hamper 5 tahun.
     Memandangkan keadaaan kesukaran yang agak lama dilalui oleh para pelajar,akhirnya para penduduk telah bermuafakat mendesak pihak kerajaan mendirikan bangunan baru yang lebih kukuh dan selesa. Di atas desakan demi desakan para penduduk kampong,akhirnya pihak kerajaan telah mengambil langkah dengan meluluskan peruntukan bagi membina sebuah bangunan baru dua tngkat pada tahun 1970.  Bangunan baru ini akhirya telah siap dibina pada tahun 1971 yang lengkap dengan 4 bilik darjah, 1 bilik pejabat,1 bilik guru,1 bilik setor dan 2 bilik tandas. Keluasan bangunan baru dua tingkat ini ialah panjangnya 100 kaki dan lebanrnya 30 kaki. Ia didaftarkan atas nama JKR 0214. Bagi meraikan bangunan baru ketiga ini,para ibu bapa telah membuat majlis kenduri kesyukuran pada 20.6.1971 dengan mengadakan bacaan yaasin dan tahlil.  Pada 22.6.1971 bersamaan hari Selasa,bangunan baru ini mula beroperasi.   Peramian bangunan ketiga ini telah disempurnakan oleh YAB Datok Hj Kamaruddin Bin Mat Isa,selaku Menteri Besar Perak. Walaupun berbangunan baru,namun nama sekolah terus kekal dengan nama yang asal iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Jernih.


      Kewujudan bangunan baru ini telah membantu meningkatkan bilangan pelajar. Bilangan pelajar semakin bertambah ia itu melebihi 200 orang pelajar pada awal tahun 1980an begitu juga dengan bilangan guru telah bertamabha kepada 10 orang dan dinantu oleh kakitangan bukan guru seramai 2 orang. Kepesatan pembangunan kampong telah meningkatkan populasi penduduk. Peningkatan bilangan penduduk telah menyebabkan ruang bilik darjah mulai tidak mencukupi. Bagi mengatasi masalah ini,pihak pimpinan kampong serta PIBG sekolah telah memohon kepada Kerajaan melalui Jabatan Pelajaran Perak supaya dapat menambah bilangan bili8k darjah dan lain-lain bilik bagi menampung keperluan pada waktu itu. Akhirnya pada pertengahan tahun 1990an,pihak kerajaan telah meluluskan beberapa bangunan tambahan meliputi bilik Komputer menaik taraf  kantin sekolah dan paling akhir pihak kerajaan telah meluluskan satu bangunan tambahan untuk dijadikan bilik Pendidikan Prasekolah pada tahun 2007.